Awan mendung..Awan harapan..


Aku terbaca sebuah cerpen yang menarik untuk dikongsi,Tahniah Elmi  Zulkarnain! ,cerpen ini berjaya membuat aku membacanya berulang kali..hehe

Gumpulan awan mendung pekat mula menitikkan titis-titis hujan. Setelah Suri menyeret langkahnya masuk ke kelas, dia terpaku di tempat duduknya dalam pasak rasa belahan jiwa yang kosong. Ingin sahaja dia merejamkan rasa benci untuk meneruskan hayatnya kepada dunia.“Saya mahu awak-awak semua mengarang sebuah cerita yang bertajuk ‘Ibu’. Mudah bukan? Interpretasi cerita terpulang kepada diri awak. Jumlah perkataan antara 200 sehingga 300 patah perkataan,” jelas Cikgu Dewi yang lantang memberi arahan.

Sejurus kemudian, bilik darjah itu diselimuti kesenyapan dengan pelajar-pelajar yang sibuk menari-narikan pena, mencoret cerita di kertas. Di dalam kotak fikiran pelajar-pelajar kelas itu jelas terlukis kisah ibu yang tersayang, ibu yang berjasa, ibu mithali yang berkorban demi keluarga tercinta. Aduhai, sungguh indah dunia mereka! Tiba-tiba Suri rasa terasing. Kegelisahan menghalang Suri dari menulis. Tiada mampu pena di tangannya melahirkan sebarang kekata di lembar kertas. Masih kosong. Bersih tiada bertinta. Matanya terus melilau memerhatikan gelagat teman-temannya.

Sesekali fikirannya akan teringat pada kejadian yang telah meragut segala ketenteraman hidupnya. Dirinya terkapar-kapar dihantui resah. Dia begitu hampa dengan nasib yang menimpa diri. Resah dan hampa inilah yang telah mula membakar dirinya.

Di sebuah lorong yang samar dengan limpahan cahaya tiang lampu, seorang wanita separuh umur berdiri. Kaki kanannya dinaikkan ke belakang sehingga terlihat betisnya ibarat bunting padi dan kemudian direhatkan tumitnya di permukaan tembok. Wajahnya disolek tebal dengan pakaian menjolok mata. Dress merah menyala ketat bak sarung nangka menjadi pilihannya malam itu. Dia sedang menantikan seseorang di luar kelab malam sambil memerhatikan ‘anak-anaknya’ yang berada di dalam dan di luar kelab tersebut.

Seorang pemuda berjalan di hadapannya. Mummy Sheila mengukirkan senyuman yang paling manis. Dia menghampiri lelaki itu. Lelaki itu membalas senyuman Mummy Sheila.

“Hi Sayang … Amacam bisnes? Ada bagus?” suara lembut seorang pemuda menegur Mummy Sheila. Mummy Sheila masih tersenyum manja tanpa berkata. “Apa kata malam ni, lepas kerja, you temankan I? Macam biasa, lumayan ganjarannya tau. Kita berdua pergi ke pub di seberang jalan tu? Lepas itu, anything goes …” sambung lelaki itu. Mereka berbalas kenyitan mata tanda setuju.

Sering kali, ibu Suri akan pulang dengan ditemani lelaki berbeza yang memaut pinggangnya. Ada antara mereka merupakan pelanggan tetap, ada juga pelanggan baharu. Suri sudah biasa dengan keadaan hidup seperti itu. Ibunya telah berjaya meyakinkannya bahawa kerjaya itu sahajalah yang mampu membawa kesenangan kehidupan buat mereka dua beranak.

“Kita minum lagi lah sayang. Tadi I dapat minum sikit jer. By the way, dress I cantik tak?”

Dua pasang kaki melangkah masuk. Mummy Sheila dipapah ke bilik tidur utama. Lelaki itu hanya berterusan tertawa sinis.

Suri dibuai mimpi sementara ibunya ‘bekerja’ di kamar bersebelahan.

Sejam berlalu pantas. Mummy Sheila rebah di atas katil. Lelaki itu masih belum puas. Dengan hanya berseluar boxers, kakinya melangkah keluar dari bilik itu. Matanya mula berkeliaran. Dia melangkah lagi. Kali ini ditujukan halanya ke arah bilik Suri. Pintu yang tidak dikunci dibuka perlahan. Dia menyelak selimut perawan yang masih nyenyak tidur. Mulut Suri ditekap. Suri cuba meronta. Saat itu matanya sayu menatap wajah Yan yang menjelma di benaknya.

Mata Suri mula mengerling. Dia mencari-cari Yan. Dia mencari-cari wajah ketenangan, wajah sang pencinta yang pernah tulus terhadapnya. Dia amat merindukan saat-saat di mana Yan membelSuriya dengan penuh kasih sayang. Dia mendambakan pelukan mesra dan bisikan kata-kata lirih cinta Yan. Kehadiran Yan sahajalah yang mampu mengubah resah Suri menjadi ceria. Kehidupan Suri yang sudah ketandusan kasih ibu dan ayah semakin gersang. Dia perlukan kehadiran Yan dalam hidupnya untuk membawa awan harapan.

Cikgu Dewi mengalihkan perhatiannya pada jam dinding di hadapan bilik darjah.

“Loceng waktu rehat sudah pun dibunyikan. Saya harap awak semua dapat menghantar kerja awak sekarang. Letakkan hasil karangan awak di atas meja saya. Selain Suri, pelajar yang lain dibenarkan keluar untuk berehat.”

Suri merupakan pelajar yang terakhir untuk menghantar karangannya. Dia tidak mengendahkan apa yang dikatakan Cikgu Dewi. Dia tergesa-gesa keluar dari bilik darjah itu. Hanya tiga potong ayat yang telah dipenakannya untuk disemak Cikgu Dewi:

Tiada yang istimewa tentang ibuku. Hanya kisah-kisah luka yang mampu aku alirkan. Luka hatiku adalah akibat direjam dengan ketajaman kerikil kehidupannya.”

– Elmi Zulkarnain

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: